Sebuah hadis menyebut, Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat buat orang lain, sejahat-jahat manusia adalah yang mendatangkan kerugian orang lain.
Bagi mengenali Sebaik-baik manusia, antara ayat yang sangat relevan untuk dijadikan penilaiannya ialah ayat 62 an-Naml. Ayat ini menyebut, Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang menderita apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan, dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi?
Ayat ini menyatakan, sebagai makhluk yang diangkat menjadi khalifah, manusia memiliki tanggung jawab besar membantu sesama manusia, menghilangkan kesusahan, dan memelihara bumi. Mengikut ayat ini, sebaik-baik manusia ialah seorang khalifah.
Ayat 30 al-Baqarah menyebut, Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Maksud ayat ini, Allah swt hendak menjadikan manusia sebagai khalifah. Jadi, sebaik-baik manusia ialah yang hidupnya di dunia ini menjalani kehidupan sebagai seorang khalifah. Siapakah khalifah itu.
Untuk mengenali khalifah, kita harus merujuk ayat-ayat yang menyebut khalifah, atau yang membawa maksud khalifah. Antaranya ayat 165 al-Anam, ayat 69 al-Araf, ayat 74 al--Araf, ayat 14 Yunus. Saya tinggalkan buat kalian mengkajinya.
Tujuan posting saya ini ialah hendak melontarkan idea kekhalifahan melalui ayat 62 an-Naml. Di atas itu ialah terjemahannya.
Sebagai makhluk yang diangkat menjadi khalifah, ayat ini menyatakan tanggung jawab utamanya ialah membantu sesama manusia, menghilangkan kesusahan, dan memelihara bumi.
Secara tersirat, ayat ini menyatakan bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang peka terhadap penderitaan orang lain, cepat bertindak untuk menghilangkan kesusahan. Dengan kata lain ialah menjadi pelindung manusia lain, terutama mereka yang memerlukan pertolongan. Kerana inilah Rasulullah saw menyebut dalam hadisnya, Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.
Antara lain lagi, mengikut ayat 62 an-Naml, tugas khalifah ialah mendiami dan menguasai bumi. Ertinya, bukan hanya menyebutkan tanggung jawab manusia, tetapi juga mengingatkan kita akan hubungan mendalam antara keberadaan kita di bumi dengan peranan Ilahi kita, maksudnya setiap langkah yang diambil untuk membantu orang lain adalah bukti dari sifat kekhalifahan. Maksudnya, ayat 62 an-Naml itu hendak mengaitkan kedudukan manusia sebagai khalifah di bumi dengan sifat penyayang Allah swt.
Jadi, apabila ayat ini menyebut menjadikan kamu khalifah, mendiami dan menguasai bumi itu ertinya bahawa tugas kekhalifahan bukan hanya menjaga alam, tetapi juga memikul tanggungjawab sosial, iaitu membantu orang lain yang berada dalam kesulitan, seperti yang disebut di awal terjemahan itu.
Buat kali ini saya mengajak kalian merenung dengan hati yang ikhlas memahami bahawa soal kekhalifahan ini bukan suatu pilihan tetapi tidak ada pilihan lain selain menerima seruan ayat 30 al-Baqarah itu. Saya sebutkan di sini kerana Aisyah, isteri baginda pernah berkata Akhlak Nabi adalah al-Quran, ertinya apabila ayat 30 itu menyeru untuk menjadikan khalifah pastinya baginda menyahut seruan tersebut, lalu menjadikan dirinya sebagai seorang khalifah, dan seterusnya menjadikan ayat-ayat yang menyebut khalifah atau yang membawa maksud khalifah itu sebagai asas membina akhlaknya.
No comments:
Post a Comment