Nabi saw pernah bersabda, Jangan bangga dengan sembahyang yang banyak kerana semua itu belum tentu membuat Allah redha. Hal ini digambarkan oleh sebuah riwayat tentang dialog Nabi Musa dengan Allah.
Allah swt: Wahai Musa, apakah engkau sudah mengerjakan amal soleh untuk Ku?
Nabi Musa: Wahai Allah, aku telah mengerjakan solat untuk-Mu, berpuasa untuk-Mu, bersedekah untuk-Mu, sujud kepada-Mu, memuji-Mu, membaca kitab-Mu, dan berzikir kepada-Mu.
Allah swt: Wahai Musa, adapun salatmu maka itu adalah bukti nyata untukmu, puasamu adalah perisai untukmu, sedekah adalah naungan untumu, dan berzikir adalah cahaya untukmu. Lalu amal perbuatan apa yang sudah engkau lakukan untuk-Ku?
Nabi Musa: Wahai Tuhan-ku, tunjukkanlah perbuatan itu agar aku dapat melakukannya untuk-Mu.
Allah swt: Wahai Musa, apakah engkau pernah mendukung wali-Ku, apakah engkau pernah memusuhi musuh-Ku.
Kata untukmu membayangkan sembahyang, puasa, sedekah dan ibadah-ibadah yang lain itu untuk faedah diri Nabi Musa sendiri, tidak membawa maksud amal soleh (untuk faedah orang lain). Inilah sebabnya seperti yang disebut oleh hadis tersebut iaitu sembahyang dan ibadah-ibadah yang lain itu tidak diredai Allah. Ini sebagai petanda bahawa ibadah tidak hanya untuk kepentingan individu atau keperluan peribadi, tetapi harus membawa manfaat yang lebih luas: kepada masyarakat dan kehidupan sekitarnya. Dengan kata lain menunjukkan bahawa ibadah bukanlah semata-mata ritual untuk memuaskan diri sendiri, tetapi harus dilaksanakan dengan tujuan yang lebih tinggi, iaitu:
1. Menghubungkan Ibadah dengan Tanggung jawab Sosial
Jika ibadah dilakukan hanya untuk keuntungan peribadi, seperti sekadar memperoleh pahala, ketenangan, atau kepuasan rohani, maka ia kehilangan makna sebenar. Allah menghendaki ibadah Nabi Musa membawa impak kepada umatnya, yakni mengangkat mereka daripada kesesatan, kezaliman, dan penderitaan.
Firman Allah Kemudian datanglah selepas mereka, pengganti-pengganti (yang jahat) yang mensia-siakan sembahyang dan menuruti hawa nafsu. (Maryam, 59). Ayat ini memberi amaran bahawa ibadah yang tidak disertai tanggung jawab akan menjadi sia-sia.
2. Menegaskan Matlamat Ibadah sebagai Manifestasi Kekhalifahan
Allah menciptakan manusia sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi, dan ibadah adalah alat untuk mendidik manusia menjalankan peranannya sebagai khalifah. Jika ibadah terpisah daripada tanggung jawab kekhalifahan, maka ia tidak memenuhi maksud penciptaan manusia.
Dalam konteks Nabi Musa, Allah mungkin menegur bahawa ibadah baginda harus diarahkan untuk membebas-kan Bani Israel dari kezaliman Firaun, bukan hanya terfokus pada aspek kerohanian diri.
3. Mengkritik Sifat Ego dalam Ibadah
Istilah untukmu juga boleh menunjukkan sikap egois dalam ibadah, di mana seorang hamba hanya memikirkan hubungannya dengan Allah tanpa peduli dengan hubungan-nya dengan makhluk lain.
Islam menekankan keseimbangan antara ibadah kepada Allah dan amal kepada manusia. Contohnya, dalam Surah Al-Ma’un, Allah mengecam orang yang sembahyang tetapi tidak peduli pada anak yatim dan fakir miskin: Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) mereka yang lalai dalam solatnya, yang berbuat riya', dan enggan memberikan bantuan.
4. Menekankan Konsep Redha Allah terhadap Ibadah yang Membawa Manfaat
Allah tidak meredhai ibadah yang terpisah dari tujuan-Nya: membentuk manusia yang bermanfaat bagi dunia dan seisinya. Nabi Musa perlu memastikan bahawa sembahyang, zikir, dan puasanya memberi inspirasi dan panduan kepada umatnya, bukan sekadar untuk kepuasan peribadi.
Kesimpulan:
Apabila Allah menyatakan bahawa ibadah itu untukmu, maksudnya adalah teguran kepada sifat individualisme dalam beribadah, yang tidak selari dengan tujuan kekhalifahan. Allah menghendaki ibadah yang bukan hanya melibatkan hubungan individu dengan-Nya tetapi juga mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan menyelesaikan permasalahan duniawi. Sebaik-baik ibadah adalah yang menjadikan pelakunya agen kebaikan untuk orang lain.
No comments:
Post a Comment